Tuesday, April 27, 2010

Peguam lawan peguam di Sibu


BN, DAP letak calon tanding pilihan raya kecil Parlimen 16 Mei

KUCHING: Barisan Nasional menamakan Penolong Bendahari SUPP cawangan Sibu, Robert Lau Hui Yew, sebagai calon Barisan Nasional (BN) pilihan raya kecil Parlimen Sibu yang dijadual pada 16 Mei ini.
Pengumuman menamakan peguam berusia 45 tahun itu dibuat Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang juga Pengerusi BN, sekembalinya dari Kuala Lumpur di hangar Hornbill Skyways, di sini malam tadi.

Sementara itu, Pengerusi DAP Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Assek, Wong Ho Leng, diumumkan sebagai calon DAP.

Pengumuman Wong yang juga peguam, diumumkan Setiausaha Agung parti, Lim Guan Eng, pada majlis makan malam di sebuah restoran, di Sibu malam tadi.

Abdul Taib berkata, surat pentauliahan calon diserahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, selaku Pengerusi BN, kepadanya dalam pertemuan di Putrajaya, semalam.

Hui Yew yang turut dikenali sebagai Robert Lau Junior adalah sepupu kepada mendiang Datuk Robert Lau Hoi Chew, penyandang kerusi Parlimen Sibu selama lima penggal sejak 1990 yang meninggal dunia pada 9 April lalu.
Taib berkata, Perdana Menteri menyifatkan pemilihan Hui Yew, yang menyertai SUPP sejak 17 tahun lalu amat dikenali di kalangan masyarakat tempatan dan bersifat mesra rakyat, sebagai amat tepat bagi mendukung aspirasi kerajaan kepemimpinannya yang mendahulukan rakyat dan meng-utamakan pencapaian.

“Perdana Menteri gembira dengan calon pilihan kita dan saya mengucapkan tahniah kepada SUPP. Robert Lau Junior adalah antara pemimpin pelapis berwibawa dalam SUPP dan saya yakin beliau mampu berkhidmat dengan baik jika dipilih mewakili rakyat Sibu,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 8 Mei ini sebagai tarikh penamaan calon dan 16 Mei hari mengundi.

KDN tubuh panel


KAJANG: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menubuhkan panel khas diketuai Timbalan Menterinya, Datuk Wira Abu Seman Yusop, untuk menyiasat insiden seorang remaja 15 tahun mati ditembak polis di Shah Alam, awal pagi kelmarin.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang mengumumkan penubuhan panel itu, juga mengarahkan siasatan terperinci dijalankan berhubung kes berkenaan.

Beliau yang sedih dan kesal dengan kejadian itu, memberi jaminan kes akan disiasat secara telus bagi memastikan keadilan kepada semua pihak yang terbabit, selain mengelak wujudnya pandangan negatif di kalangan masyarakat.

“Siasatan merangkumi semua aspek, termasuk kewajaran tindakan polis dalam insiden itu. Jika didapati ada sesuatu tidak kena, pihak berkenaan perlu bertanggungjawab. Kita tidak akan sembunyikan apa-apa,” katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama Ahli Lembaga Hakim Pelawat Jabatan Penjara Malaysia di sini, semalam.
Dalam kejadian di Seksyen 11, Shah Alam, kira-kira jam 2 pagi kelmarin, Aminulrasyid Amzah meninggal dunia selepas terkena tembakan yang dilepaskan anggota polis peronda apabila remaja itu dikatakan cuba melarikan diri.

Pasukan peronda berkenaan sebelum itu mengarahkan remaja terbabit menghentikan keretanya untuk pemeriksaan, tetapi pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9, Shah Alam itu dikatakan memecut sebelum kenderaannya berjaya disekat di Jalan 11/2G, Seksyen 11.

Dalam kejadian itu, rakan mangsa dikatakan keluar dari kenderaan itu dan melarikan diri, manakala pelajar berkenaan cuba mengundurkan keretanya menyebabkan anggota polis melepaskan beberapa tembakan.

Berikutan kejadian itu, empat anggota peronda dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam diarah melakukan kerja pejabat berkuat kuasa serta-merta sementara siasatan terperinci dijalankan.

Hishammuddin berkata, kementerian sedar wujud perasaan kurang senang di kalangan orang ramai terhadap beberapa kes membabitkan tindakan polis sebelum ini yang disifatkannya perlu ditangani segera.

“Bukan hanya saya sedih, malah terkejut bila dimaklumkan si mati pelajar yang baru berusia 15 tahun. Bagaimanapun, kita belum tahu siapa salah... siapa betul dalam kes ini sebab siasatan sedang berjalan.

“Saya minta masyarakat tidak membuat tuduhan melulu atau spekulasi hingga mengeruhkan lagi keadaan. Tindakan tegas juga akan diambil ke atas mereka yang cuba mempolitikkan kes itu bertujuan mengelirukan orang ramai,” katanya.

Sementara itu, beliau menjelaskan setiap saksi pendakwaan dan pihak didakwa dalam inkues kematian pembantu Exco Selangor, Teoh Beng Hock diberi jaminan keselamatan sepanjang prosiding berlangsung.

Jaminan itu diberi berikutan ugutan yang diterima pakar patologi dari United Kingdom, Dr Peter Vanezis dipercayai berkaitan keterangannya dalam inkues kes itu, kelmarin.

“Dr Venezis sudah membuat laporan polis dan kesnya sedang disiasat. Beliau tidak perlu bimbang kerana sentiasa dilindungi sepanjang berada di Malaysia. Bercakap fasal ugutan, saya pun pernah diugut. KPN (Ketua Polis Negara) juga ada terima ugutan dua hari lalu.

“Namun, saya kecewa dengan pakar forensik Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand (saksi keluarga Beng Hock) yang tidak muncul-muncul hingga mengganggu prosiding. Padahal, jaminan keselamatannya sudah diberikan... apa masalah dia sebenarnya,” katanya

Dr. Vanezis terima ugutan


SHAH ALAM 27 April - Pakar perubatan forensik dari United Kingdom, Profesor Dr. Peter Vanezis membuat laporan polis malam semalam, mendakwa menerima e-mel berunsur ugutan selepas beliau memberi keterangan berhubung hasil bedah siasat kedua terhadap mayat Teoh Beng Hock.

Ketua Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Razak Musa memaklumkan perkara itu sebelum Vanezis menyambung keterangannya pada prosiding inkues menyiasat punca kematian Setiausaha Politik Exco Selangor itu di Mahkamah Koroner di sini hari ini.

Menurut beliau, laporan tersebut dibuat oleh Vanezis pada pukul 11.10 malam di Balai Polis Seksyen 11 dekat sini kerana bimbang keselamatan diri dan keluarganya terancam selepas menerima e-mel tersebut.

Berdasarkan salinan yang dikemukakan kepada mahkamah, laporan polis itu berbunyi:

''Saya menerima e-mel selepas memberi keterangan di mahkamah dan sedang di peringkat disoal balas. E-mel tersebut tidak menyenangkan dan menakutkan serta turut melibatkan keluarga saya. Saya beranggapan e-mel tersebut adalah satu cubaan untuk campur tangan terhadap proses mahkamah dengan niat untuk mempengaruhi keterangan saya.''

Salinan e-mel tersebut turut diserahkan kepada pihak polis. Bagaimanapun butirannya tidak didedahkan kepada mahkamah.

Vanezis dilantik oleh SPRM sebagai pakar bebas semasa mayat Beng Hock dibedah siasat untuk kali kedua oleh pakar patologi dari Hospital Sungai Buloh, Dr. Shahidan Md. Noor pada 22 November tahun lalu.

Dalam keterangannya semalam beliau mengesahkan tiada kesan cekikan pada leher Beng Hock selain kematian lelaki itu berpunca daripada kecederaan berganda akibat terjatuh dari tempat tinggi.

Vanezis turut berpendapat Beng Hock berada dalam keadaan sedar semasa jatuh serta kakinya mencecah lantai dahulu semasa terhempas berdasarkan kecederaan yang dialami.

Semasa disoal balas oleh peguam yang mewakili keluarga Beng Hock dan Kerajaan Negeri Selangor, Gobind Singh Deo dan Malik Imtiaz Sarwar, beliau hari ini mengekalkan kenyataan yang sama.

Dalam keterangannya, Vanezis berpendapat bintik-bintik merah pada bebola mata akan kekal dan boleh dilihat sekiranya Beng Hock mengalami sesak nafas atau lemas akibat dicekik kerana mayatnya dalam keadaan baik selepas diawet.

Beliau juga tidak bersetuju dengan pandangan Shahidan sebelum ini bahawa tanda-tanda tersebut tidak kelihatan mungkin kerana bedah siasat kedua dijalankan hanya selepas empat bulan mangsa meninggal dunia.

Pakar patologi dari Thailand, Dr. Pornthip Rojanasunand yang dilantik oleh Kerajaan Negeri Selangor sebelum ini berpendapat 80 peratus kecenderungan Beng Hock mati akibat perbuatan jenayah selain menemui kesan cekik pada leher mangsa.

Beng Hock yang merupakan setiausaha politik kepada anggota Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam pada 16 Julai 2009 selepas memberi kenyataan mengenai dakwaan salah guna peruntukan kerajaan negeri di pejabat SPRM di bangunan yang sama.

Prosiding di hadapan Koroner Azmil Muntapha Abas bersambung pada 20 Mei ini.

Sementara itu Bernama melaporkan, Vanezis semasa ditemui di luar mahkamah berkata, beliau hanya menerima satu panggilan telefon berupa ugutan sejak 35 tahun lepas dan ia mempunyai kaitan dengan satu kes di United Kingdom.

''E-mel itu bertujuan menakut-nakutkan saya sehingga ia boleh menjejaskan keterangan saya hari ini. Tetapi sebagai seorang yang profesional, saya tidak boleh ditakutkan oleh e-mel seumpama itu.

''Saya harap pihak polis akan menjalankan siasatan,'' kata profesor British itu yang tidak asing di negara ini.

Vanezis berkata, beliau telah beberapa kali ke negara ini untuk mengendalikan pemeriksaan luar bagi sains forensik di Universiti Sains Malaysia (USM) dan dua lagi fakulti perubatan.

Menurutnya, ancaman melalui e-mel itu tidak akan melemahkan semangatnya dan bersedia untuk datang ke negara ini sekiranya kepakaran beliau diperlukan.

Melaka mahu jadikan Sukma XIII terbaik


KUANTAN - Tuan rumah Sukan Malaysia XIII, Melaka mahu menjadikan penganjuran temasya dwi tahunan itu yang paling meriah dan terbaik pernah diadakan.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, ini kerana Sukma XIII merupakan yang terakhir diadakan dua tahun sekali sebelum dijadikan acara tahunan bermula tahun depan.

Beliau berkata, bagi memeriahkan sambutan sukan terbesar negara itu, seramai 2,800 kumpulan kompang dijangka terlibat dalam acara pembukaannya dijadual dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob pada 12 Jun ini.

Sementara acara penutup pula, kata Mohd. Ali, akan dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 19 Jun ini.

"Lebih 13,000 atlet dan pegawai daripada 15 kontinjen serta sukarelawan akan berkampung di Melaka sempena temasya sukan dwi tahunan itu yang terakhir diadakan dua kali setahun, pada 10 hingga 19 Jun ini," katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian pada majlis kunjungan hormat bagi menyampaikan jemputan rasmi Sukan XIII kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob di Hotel Hyatt Regency, Teluk Chempedak di sini.

Mohd. Ali berkata, sebanyak 418 pingat emas akan menjadi rebutan para atlet di temasya tersebut yang dijangka menarik kedatangan lebih 500,000 pengunjung.

Beliau berkata, kos penganjuran sukan tersebut lebih RM100 juta bagi penyediaan gelanggang, kemudahan infrastruktur dan sebagainya.

Mengenai penyertaan kontinjen Pahang, beliau berkata, Pahang yang menduduki tempat keempat pada Sukma XII 2008, dijangka menghantar 600 kontinjen yang akan menyertai 31 daripada 33 acara sukan dipertandingkan.

Sementara itu, Adnan berkata, penyertaan Pahang dalam Sukma kali ini tidak meletakkan pingat sebagai sasaran utama, sebaliknya ingin menjadikan temasya tersebut sebagai gelanggang untuk mengukuhkan perpaduan antara kaum di negara ini.

Katanya, tumpuan Pahang adalah temasya Sukma 2012 yang akan diadakan di negeri ini.

"Saya percaya, hasrat Perdana Menteri untuk mengukuhkan perpaduan antara kaum dapat ditingkatkan melalui Sukma. Ini kerana, kontinjen kita terdiri daripada pelbagai kaum yang menunjukkan ia begitu muhibah.

"Memang atau kalah, kemudian. Yang mustahak adalah turut serta," katanya.

Syabas Azizul, Nicol



KUALA LUMPUR – Kejayaan merangkul pingat perak Kejohanan Trek Dunia Dunia melayakkan jaguh lumba basikal negara, Azizulhasni Awang dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan 2009.

Namun, tumpuan peminat sukan tanah air pada Anugerah Sukan Negara, semalam turut terarah kepada kehebatan ratu skuasy, Datuk Nicol David mendominasi gelaran Olahragawati Kebangsaan buat kali kelima berturut-turut sejak memenanginya pada 2005.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan menyampaikan anugerah tersebut.

Nicol diwakili oleh Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia, Datuk A. Sani Karim.

Turut mencemar duli ke majlis tersebut ialah Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong.

Nicol yang diberi tentangan hebat oleh bakat boling berusia 19 tahun, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman (juara ranking Masters Dunia), terlalu unggul dengan merangkul enam kejuaraan profesional tahun lalu, termasuk mempertahankan gelaran dunia.

Atlet kelahiran Pulau Pinang itu juga terlalu kebal di pentas antarabangsa apabila mempertahankan ranking No. 1 dunia selama 45 bulan dari Ogos 2006 hingga Disember 2009.

Turut berada dalam senarai akhir calon Olahragawati 2009 adalah Siow Yi Ting (renang), Wong Pei Tty-Chin Eei Hui (badminton), Jamaliah Jamaludin (karate) dan Noraseela Khalid (olahraga).

Bagi Azizulhasni, 22, yang terkenal dengan jolokan The Pocketrocketman, kejayaan muncul pelumba Malaysia pertama memenangi pingat pada Kejohanan Trek Basikal Dunia di Poland menjadi kekuatan untuk membawa pulang anugerah buat kali pertama.

Biarpun sekadar meraih perak, kejayaan dalam acara pecut di Pruszkow itu tetap pencapaian yang amat bermakna kerana lumba basikal merupakan sukan yang sangat kompetitif, di mana saiz badan turut memainkan peranan.

Azizulhasni dengan tubuh yang kecil mampu memberi saingan hebat kepada lawan yang jauh lebih sasa, terutama dari Eropah, sekali gus layak diangkat sebagai ikon sukan kerana semangat dan keberaniannya.

Selain meraih perak Kejohanan Dunia, penuntut University Deakin Australia itu turut menjuarai pusingan kedua Piala Dunia Klasik dan juara pecut Grand Prix Medellin di Colombia.

Turut disenarai akhir untuk anugerah Olahragawan 2009 adalah Sazali Samad (bina badan), Loh Jack Chang (wushu), Zulmazran Zulkifli (boling), Mohd. Hatta Mahamut (karate) dan Daniel Bego (renang).

Selaku olahragawan dan olahragawati, Azizulhasni dan Nicol masing-masing membawa pulang RM10,000.

Sementara itu, kejayaan membawa pulang emas Sukan SEA buat kali pertama dalam tempoh 20 tahun melayakkan skuad bola sepak bawah 23 tahun ditabal sebagai Pasukan Lelaki Terbaik, manakala jurulatih, K. Rajagobal berkongsi jurulatih terbaik bersama Yoong Thong Foong (wushu).

Kombinasi Leong Mun Yee-Pandelela Rinong yang menghadiahkan gangsa acara terjun 10m platform seirama pada Kejohanan Dunia di Rome, Julai lalu merangkul anugerah pasukan