Tuesday, April 27, 2010

Melaka mahu jadikan Sukma XIII terbaik


KUANTAN - Tuan rumah Sukan Malaysia XIII, Melaka mahu menjadikan penganjuran temasya dwi tahunan itu yang paling meriah dan terbaik pernah diadakan.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, ini kerana Sukma XIII merupakan yang terakhir diadakan dua tahun sekali sebelum dijadikan acara tahunan bermula tahun depan.

Beliau berkata, bagi memeriahkan sambutan sukan terbesar negara itu, seramai 2,800 kumpulan kompang dijangka terlibat dalam acara pembukaannya dijadual dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob pada 12 Jun ini.

Sementara acara penutup pula, kata Mohd. Ali, akan dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 19 Jun ini.

"Lebih 13,000 atlet dan pegawai daripada 15 kontinjen serta sukarelawan akan berkampung di Melaka sempena temasya sukan dwi tahunan itu yang terakhir diadakan dua kali setahun, pada 10 hingga 19 Jun ini," katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian pada majlis kunjungan hormat bagi menyampaikan jemputan rasmi Sukan XIII kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob di Hotel Hyatt Regency, Teluk Chempedak di sini.

Mohd. Ali berkata, sebanyak 418 pingat emas akan menjadi rebutan para atlet di temasya tersebut yang dijangka menarik kedatangan lebih 500,000 pengunjung.

Beliau berkata, kos penganjuran sukan tersebut lebih RM100 juta bagi penyediaan gelanggang, kemudahan infrastruktur dan sebagainya.

Mengenai penyertaan kontinjen Pahang, beliau berkata, Pahang yang menduduki tempat keempat pada Sukma XII 2008, dijangka menghantar 600 kontinjen yang akan menyertai 31 daripada 33 acara sukan dipertandingkan.

Sementara itu, Adnan berkata, penyertaan Pahang dalam Sukma kali ini tidak meletakkan pingat sebagai sasaran utama, sebaliknya ingin menjadikan temasya tersebut sebagai gelanggang untuk mengukuhkan perpaduan antara kaum di negara ini.

Katanya, tumpuan Pahang adalah temasya Sukma 2012 yang akan diadakan di negeri ini.

"Saya percaya, hasrat Perdana Menteri untuk mengukuhkan perpaduan antara kaum dapat ditingkatkan melalui Sukma. Ini kerana, kontinjen kita terdiri daripada pelbagai kaum yang menunjukkan ia begitu muhibah.

"Memang atau kalah, kemudian. Yang mustahak adalah turut serta," katanya.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home